Satu lagi model dipamerkan oleh GWM di acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) ialah WEY 80 PHEV. Ianya merupakan sebuah MPV premium 7-tempat duduk dengan janaan sistem plug-in hybrid.
GWM WEY 80 mempunyai ukuran 5,045mm panjang, 1,960mm lebar, 1,900mm tinggi, dan 3,085mm jarak roda.
Pemandu dan penumpang dapat menikmati keselesaan menerusi kerusi kulit berkualiti tinggi dengan ciri graviti sifar. Ciri-ciri sandaran belakang dengan sokongan kaki yang boleh dilaraskan pada barisan kedua membolehkan penumpang beristirahat di sepanjang perjalanan.
Selain itu, penumpang di barisan kedua juga dilengkapi dengan meja lipat pelbagai fungsi di belakang kerusi barisan pertama untuk melakukan kerja mahupun menikmati hidangan. Satu lagi ciri pada WEY 80 ialah sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
GWM WEY 80 dipacu oleh sistem hibrid PHEV dengan teknologi Dedicated Hybrid Technology (DHT). Sistem ini menjana 487PS dan 762Nm tork, selain membolehkan WEY 80 ini dipandu sehingga 150km dengan kuasa elektrik semata-mata.