KLIMS: Inilah Perodua eMO-ii, EV dengan rupa sporti, jarak pemanduan hingga 410km!

55

Mungkin inilah pelancaran yang mencuri paling banyak tumpuan di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), iaitu Perodua eMO-ii konsep!

Tidak seperti eMO yang dipertontonkan pada Mei lepas, eMO-ii ialah bentuk kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang lebih jelas, bak kata Perodua, episod kedua.



Jika eMO sebelum ini menggunakan badan Myvi yang direka semula berserta sistem janaan elektrik, eMO-ii ini pula mendapat badan dan platform baharu sepenuhnya.

Rekaan eMO-ii cukup sporti dan dramatik dengan elemen berbentuk X dan garis-garis agresif di sekeliling badannya. Terdapat juga lip depan dengan tulis eMO-II padanya.

Cermin sisi digantikan dengan sepasang kamera, cermin belakangnya agak condong dengan tiang-C yang tebal seperti sebuah hot hatch, manakala rimnya bersaiz 19-inci dengan rekaan aero seperti pada Tesla Cybertruck.

Bahagian belakang pula cukup sporti dengan lampu LED memanjang, spoiler bumbung, diffuser besar, dan lampu kabus di tengah seperti F1.

Bahagian dalam juga tampil futuristik dengan rekaan kokpit, stereng dua-bilah, paparan digital sepenuhnya, konsol tengah hitam glos, butang gear, dan ruang pengecas tanpa-wayar. Tempat duduk pula adalah jenis bucket.

Menariknya, terdapat ruang simpanan tersorok di pintu untuk menyimpan payung (seperti Rolls-Royce), selain pintu belakang yang menempatkan tempat duduk boleh-lipat, boleh digunakan semasa berkhemah.

Tidak banyak perincian teknikal didedahkan, tetapi spesifikasi mengatakan eMO-ii mampu memecut ke 100km/j kurang 7 saat, dengan jarak pemanduan sehingga 410km. Ia menggunakan bateri lithium-ion phosphate (LFP).

Perodua berkata EV ini bakal dilancarkan sebelum penghujung tahun depan, dengan harapan menjadi kenderaan elektrik paling murah di Malaysia. Apa pendapat anda mengenai konsep eMO-ii?

Selain itu, Perodua juga menayangkan konsep Ativa Fuze di KLIMS 2024, lihat galerinya di bawah:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here