Pulau Pinang menjadi antara negeri selain Selangor, Kuala Lumpur dan Johor yang merekodkan jumlah kemalangan tertinggi pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, statistik kemalangan jalan raya dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM merekodkan sebanyak 23,534 kemalangan di Pulau Pinang bermula dari Januari hingga Mei tahun ini.
“Dari jumlah tersebut, 167 merupakan kemalangan maut yang telah mengorbankan 177 nyawa.
“Kemalangan jalan raya seperti pandemik yang memberikan kesan kepada pelbagai peringkat golongan termasuklah anak-anak muda dan berupaya memberi kesan ekonomi kepada negara, komuniti dan keluarga,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.
Menurut Zairil, setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan penting dalam membantu mencapai sasaran pengurangan kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus seperti yang dihasratkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).