MOT: Subsidi tiket penerbangan musim perayaan akan diteruskan

41

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan utama bagi 2024 dan 2025.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan tersebut adalah bagi perayaan Krismas tahun ini, manakala untuk tahun depan pula ialah sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai serta Krismas.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan ditambah baik dengan pemberian subsidi harga tiket penerbangan sehala kepada setiap penumpang bagi laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak, dan Labuan untuk tiket yang berharga melebihi RM499.



“Harga ini tidak termasuk cukai dan fi. Penetapan harga maksimum RM499 ini adalah penurunan harga ambang yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu RM599,” menurut kenyataan itu yang menambah kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum berkenaan.

Menurut kenyataan MOT, tempoh pelaksanaan inisiatif itu juga akan dilanjutkan daripada tiga hari kepada empat hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan utama iaitu bermula 21 hingga 24 Dis ini bagi Krismas, manakala bagi Tahun Baharu Cina bermula 25 hingga 28 Jan depan.

Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, tarikh pelaksanaan tambang maksimum sempena perayaan itu ditetapkan pada 27 hingga 30 Mac, manakala bagi Kaamatan dan Gawai masing-masing bermula 26 hingga 29 Mei dan 28 hingga 31 Mei, dengan Krismas tahun depan pula ditetapkan pada 21 hingga 24 Dis.

Kenyataan itu memaklumkan penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 0001 pada 6 Dis ini dan orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh tersebut.

Antara terma dan syarat tiket ialah perubahan tarikh atau pertukaran penerbangan tidak dibenarkan dan hanya sah untuk tarikh atau penerbangan yang ditunjukkan pada tiket, selain tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.

“Dalam hubungan ini, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambah baik dan ditawarkan sesetengah syarikat penerbangan. Bagaimanapun, pengguna akan tetap dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” menurut kenyataan MOT.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here