Jaecoo Malaysia secara rasminya memperkenalkan Omoda C9 ke pasaran tempatan yang mana SUV itu ditawarkan dengan dua varian.
Dengan gabungan reka bentuk elegan, serta dilengkapi prestasi mantap, dan teknologi canggih, Omoda C9 bakal memberi pesaing utama dalam segmen SUV mewah di Malaysia.
Berada dalam SUV segmen-D, ia menggunakan enjin 2.0 TGDI 4-silinder yang menghasilkan kuasa 257hp dan tork 400Nm bersama kotak gear 8-kelajuan.
Pasaran tempatan bakal menerima dua pilihan pacuan dengan anggaran harga :
- 2WD : RM168,800
- AWD : RM188,800
Versi pacuan dua roda (2WD) didatangkan dengan tiga mod pemanduan manakala pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh mod pemanduan.
Omoda C9 memiliki dimensi tinggi (1,671mm), lebar (1,920mm) dan panjang (4,775mm) serta jarak roda 2,800mm. Jarak kelegaan tanah 165mm membolehkan SUV itu meredah air pada kedalaman maksimum 450mm.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan pada Omoda C9 adalah rim aloi R20 bersama tayar Michelin 245/50, saiz but 660 liter dan boleh ditingkatkan sehingga 1,783 liter serta sistem suspensi adaptif serba lengkap yang disokong topang McPherson (depan) dan multi link (belakang).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) menggunakan monitor pemandangan keliling 540 darjah, pelarasan elektrik dengan lapan tahap bagi tempat duduk pemandu dan fungsi memori, sistem pengudaraan bagi kerusi depan serta 14 pembesar suara keliling (AWD) dan lapan pembesar suara (2WD).
Bagi ciri keselamatan dan bantuan pemandu, Omoda C9 ini dilengkapi:
•Kawalan jelajah adaptif
•Kamera pandangan sekeliling
•Brek kecemasan automatik
•Pemantauan titik buta
•Bantuan kekal lorong
•Bantuan lintasan trafik belakang
Dari segi waranti, ia ditawarkan dengan pakej standard sehingga tujuh tahun atau 150,000km. Namun, untuk tempahan bermula hari ini sehingga 8 Disember 2024, mereka bakal menerima waranti sehingga 10 tahun atau 1 juta km untuk enjin dan suspensi.
Sementara itu, Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek berkata, pihaknya yakin produk dan strategi harga yang tersendiri adalah faktor yang memacu kejayaan JAECOO.
“Terima kasih diucapkan kepada peminat setia dan pengguna kami kerana sudi berkongsi pendapat mereka, sesuatu yang amat kami hargai.
“Kami memandang serius input yang diberikan untuk memastikan kami mengeluarkan kenderaan yang terbaik dalam kelasnya yang memenuhi keperluan pasaran,” katanya.