Konvoi motosikal cari dana RM2 juta bina masjid

67

Demi membantu mencari dana bagi menyiapkan Masjid Klebang Putra di sini, kira-kira 500 penunggang motosikal bersatu dalam program Ride 2 Juta yang dianjurkan pada Sabtu.

Idea asal yang dicetuskan oleh seorang pempengaruh YouTube, Fakhrul Amry dengan nama Projek Solo melalui kolaborasi konten bersama pasukan media Masjid Klebang Putra di TikTok, program tersebut berjaya menghimpunkan penunggang dari seluruh pelosok negara dalam usaha mengumpul dana RM2 juta untuk masjid tersebut.





Imam Masjid Klebang Putra, Muhamad Khalil Yaacob berkata, kos keseluruhan bagi pembinaan masjid tersebut dianggarkan bernilai RM4 juta dan sebahagian RM2 juta telah berjaya dikumpul manakala baki RM2 juta masih diperlukan bagi menyiapkannya menjelang pertengahan tahun depan.

Menurutnya, setelah berbincang dengan beberapa rakan yang merupakan pemimpin kelab permotoran, maka tercetuslah idea untuk mengadakan program tersebut dan sambutan yang diterima amat luar biasa.

“Ride 2 Juta ini membuktikan bahawa anak-anak muda yang meminati motosikal ini bukan seperti apa yang dianggap oleh sesetengah orang bahawa mereka ini mat rempit. Kita mahu ubah persepsi itu.

“Insya-ALLAH, melalui program ini dan beberapa lagi program yang dilaksanakan, kita yakin sasaran RM2 juta akan dicapai sekali gus merealisasikan impian untuk melihat masjid ini tersergam menjelang bulan Jun tahun depan,” katanya.

Muhamad Khalil berkata, pihaknya juga mempunyai visi untuk menjadikan Masjid Klebang Putra sebagai sebuah masjid mesra musafir yang boleh digunakan oleh orang ramai termasuk golongan peminat motosikal singgah apabila siap kelak.

Sementara itu, bagi pencipta kandungan bagi media sosial masjid berkenaan, Muhammad Sallehuddin Ali Akhbar, program tersebut mendapat sokongan daripada 10 kelab motosikal yang turut serta di dalam konvoi.

Jelasnya, program ini bukan sahaja berjaya dalam usaha mengumpul dana tetapi juga dalam memupuk rasa cinta terhadap masjid dalam kalangan komuniti penunggang motosikal.

“Acara ini menjadi simbol bagaimana golongan muda dan riders dapat digerakkan untuk menyokong pembangunan komuniti dan institusi agama.

“Melalui sokongan semua pihak, Masjid Klebang Putra bukan sahaja akan menjadi mercu tanda baharu untuk komuniti Chemor tetapi juga simbol kebersamaan ummah dalam membangunkan institusi yang memberi manfaat untuk generasi kini dan masa depan,” katanya.

Konvoi besar-besaran ini bermula dari Petronas Bandar Meru Raya dan diiringi oleh pasukan polis dengan pelbagai jentera motosikal seperti Honda ADV, Harley Davidson, Husky 150, serta motosikal klasik menghiasi acara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here