Pesara kerajaan, Ahya Abdullah, 65 menemui ratusan nombor plat kenderaan di kediamannya di Jalan Kuala Krai -Jalan Ketereh selepas dibawa arus deras ketika banjir minggu lalu.
Kediaman Ahya yang berada kira-kira dua meter di tepi jalan raya utama dari Gua Musang menuju ke Kota Bharu antara faktor banyak nombor plat yang terkumpul di hadapan rumahnya itu.
Menurut warga emas itu, hujan lebat pada Rabu minggu lalu mengakibatkan air lebih 0.3 meter di atas jalan raya itu tetapi ramai pemandu terpaksa meredah arusnya kerana ada yang mungkin tidak tahu berlaku banjir di lokasi itu.
“Saya dan anak-anak mengumpul nombor plat itu di tepi pagar rumah bagi memudahkan pemilik kenderaan mendapatkannya semula,” katanya.
Ahya memberitahu, selepas air surut, ada pemandu yang dilihat datang meninjau di kawasan itu yang hanya beberapa meter dari Masjid Omar Abdul Aziz Ketereh.
Bapa tiga anak itu berkata, kos membuat nombor plat baharu juga tidak murah dan jika pemandu mahu berjimat boleh datang mencarinya di situ kerana banyak nombor yang masih dalam keadaan baik.
“Kami mula mengutip ratusan nombor plat yang terperangkap di pagar dan hadapan pintu rumah pada Ahad selepas air mula surut,” katanya.
Jelasnya lagi, kawasan itu juga seperti pesta kerana orang ramai turun bermain banjir selain kenderaan yang meredah air.