Hasrat seorang ibu tunggal untuk membeli sebuah kereta baharu bagi kegunaan bersama enam anak tidak kesampaian selepas duit tabung dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM3,000 yang disimpan hangus dalam kejadian di Lorong Baloh Raja, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, Siti Suraya Manan, 39, serta anaknya yang berusia lima hingga 19 tahun tinggal sehelai sepinggang apabila api marak terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa anak perempuannya yang berusia 16 tahun merebus air di atas dapur gas.
“Kebetulan hari ini (Rabu) saya tidak sihat kerana sakit dada dan meminta anak untuk merebus air. Tiba-tiba api keluar dari dapur gas dan menyambar plag yang terletak berhampiran.
“Keadaan menjadi tidak terkawal, api merebak dengan cepat. Memikirkan soal keselamatan, saya terus membawa semua anak-anak keluar dari rumah dan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur keluarganya selamat namun sedih kerana duit simpanan hangus terbakar.
“Saya sudah lama menyimpan kerana kereta yang sedia ada terlalu uzur serta selalu rosak.
“Kereta penting untuk hantar anak-anak ke sekolah.Kereta lama selamat daripada kebakaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.12 pagi dan seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu serta Pasir Tumbuh dikerah ke lokasi.
Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.06 pagi,” katanya.