Mana-mana individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak, boleh memohon permit khas bagi pembelian minyak diesel melebihi had, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata permit khas itu hanya untuk kegunaan yang dibenarkan selain daripada tujuan jualan semula.
“Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada agensi yang berkaitan dan membuat permohonan melalui Sistem Permit Khas melalui portal KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).
“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari bagi pembelian di stesen minyak,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata kemudahan itu telah terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.