Proton e.MAS 7 rasmi lancar, harga mula RM109,800

82

Proton e.MAS 7 rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan menerusi dua pilihan varian iaitu :

  • Prime : RM109,800
  • Premium : RM123,800

*Seramai 3,000 pembeli terawal akan menerima diskaun RM4,000 menjadikan harga varian Prime (RM105,800) dan Premium (RM119,800).





Kedua-dua varian menggunakan motor elektrik yang diletakkan di bahagian depan dengan kuasa 218 PS dan tork 320Nm. Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175kmj.

Varian Prime menggunakan bateri LFP 49.52 kWh yang mana sekali pengecasan penuh menawarkan jarak perbatuan sejauh 345km (WLTP) manakala Premium dibekalkan dengan kapasiti bateri 60.22 kWh dengan jarak pemanduan 410km (WLTP).

Proton menyatakan ujian dalaman menunjukkan selepas 921 kitaran cas dan nyahcas lengkap, bersamaan dengan perbatuan 400,000km iaitu keadaan kesihatan bateri adalah 90.5 peratus yang ‘jauh melebihi piawaian antarabangsa’.

Kedua-dua varian e.MAS 7 menyokong pengecasan AC 11kW yang mana bagi isian bateri penuh mengambil masa 4.9 jam bagi Prime dan 6.1 jam (Premium).

Sementara pengecasan pantas DC boleh menampung sehingga 100kW (Prime 80kW) dan kedua-duanya mengambil masa hanya 20 minit bagi isian bateri 30-80 peratus.

Proton memaklumkan e.MAS 7 menawarkan jarak pemanduan 135km dengan 10 minit pengecasan.

SUV SEGMEN-C YANG BESAR

EV elektrik itu memiliki dimensi panjang 4,615mm, lebar (1,901mm) dan tinggi (1,670mm) serta jarak roda 2,750mm.

Kembar Geely Galaxy E5 ini menggunakan suspensi MacPherson di depan dan multi link di belakang. Sementara, Prime menggunakan rim aloi 18 inci (tayar 225/55 Giti) manakala Premium mendapat rim bersaiz 19 inci dengan tayar Goodyear 235/50.

Kabin eMas 7 sama seperti Galaxy E5, kecuali lencana Proton pada stereng dan tempat duduk.

Satu-satunya bahagian yang hilang dari Geely ialah beg udara tengah depan dan sandaran kaki boleh laras untuk tempat duduk penumpang depan.

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuk stereng dua jejari berbentuk sedikit bujur, panel instrumen LCD 10.2 inci, skrin sentuh infotainmen 2.5K bersaiz 15.4 inci, konsol tengah dua tingkat dan motif garisan mengalir pada konsol tengah dan tempat duduk.

Selain itu turut tersedia pad pengecas tanpa wayar dan 16 pembesar suara  Flyme Sound Wanos serta slot pengecas USB-A dan USB-C port.

Proton e.MAS 7 didatangkan dengan ciri keselamatan enam beg udara, paparan kamera 360 darjah dan radar depan dan belakang.

Selain itu, Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) Tahap 2 ditawarkan pada kedua-dua varian merangkumi :

  • Kawalan Kruise Pintar (ICC)
  • Kawalan Kruise Adaptif (ACC)
  • Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS) : Brek Kecemasan Automatik (AEB); Amaran Perlanggaran Depan (FCW); Sokongan Brek Dinamik (DBS)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA) : Lane Departure Warning (LDW); Lane Departure Prevention (LDP); Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA)
  • Sistem Bantuan Radar Tepi Belakang : Amaran Perlanggaran Belakang (RCW); Amaran Trafik Belakang (RCTA); Brek Trafik Belakang (RCTB); Bantuan Tukar Lorong (LCA); Pengesanan Titik Buta (BSD) dan Amaran Buka Pintu (DOW)
  • Pengesanan Papan Tanda Trafik (TSI)

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here