Laporan terbaharu daripada Nikkei Asia mendedahkan dua syarikat automotif Jepun, Honda dan Nissan sudah memulakan perbincangan untuk membentuk syarikat induk baharu.
Memetik sumber yang enggan dikenali, syarikat baharu itu juga sedang mencari peluang untuk memasukkan jenama Mitsubishi pada masa hadapan.
Honda dan Nissan memulakan kerjasama pada Mac 2024, dan mengembangkan perkongsian mereka pada Ogos lalu dengan memasukkan Mitsubishi untuk membangunkan kenderaan elektrik dan perisian secara bersama.
Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang agak mencabar buat Nissan.
Selain berdepan dengan saingan sengit daripada pengeluar kereta China dan Tesla, Nissan juga terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengurangkan pengeluaran kenderaan terlarisnya serta membuang sebahagian besar pekerjanya.
Lewat bulan lalu, dua eksekutif yang enggan dikenali memberitahu Financial Times bahawa syarikat tersebut mempunyai tempoh masa 12 hingga 14 bulan sahaja untuk bertahan.