Pengusaha stesen minyak di Semenanjung mendakwa mengalami kerugian mencecah RM181 juta sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron berkata hampir 3,500 stesen minyak kini mencapai tahap kritikal setelah menanggung kerugian hampir setiap bulan.
“Ia berlaku setelah pengusaha terpaksa membeli bahan api pada harga tinggi tetapi menjual pada harga lebih rendah.
“Sebanyak 98.3 peratus daripada stesen-stesen ini melaporkan kerugian daripada jualan petrol dan diesel menyebabkan ramai pengusaha beralih kepada jualan kedai serbaneka sebagai strategi untuk mengimbangi penurunan pendapatan bahan api.
“Tanpa campur tangan, kesan ekonomi jangka panjang boleh menjadi parah, berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai dan levi akibat penutupan stesen atau pengurangan operasi,” katanya.
Tambahnya, ramai pengusaha stesen mempertimbangkan untuk mengurangkan waktu operasi sehingga tengah malam bagi mengurangkan perbelanjaan buruh dan utiliti susulan peningkatan kos operasi.
Malangnya, pengurangan tenaga kerja juga mungkin diperlukan sebagai langkah terakhir untuk mengekalkan operasi.
“Kami menggesa kementerian untuk meneliti dan melaraskan kadar margin operator secara adil bagi memastikan bekalan bahan api berterusan mengikut permintaan pasaran.
“Penyasaran subsidi diesel ini menyebabkan kenaikan harga pam diesel tanpa penyesuaian sepadan dalam kadar komisen pengusaha. Justeru, kami juga menyeru kerajaan segera menyediakan penyelesaian sementara untuk menyesuaikan komisen peniaga,” ujarnya.
Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani.