Utama Berita Automotif Malaysia-China kongsi risiko kerugian ECRL sama rata

Malaysia-China kongsi risiko kerugian ECRL sama rata

46
Malaysia dan China akan berkongsi kos operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) secara sama rata.
 
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sekiranya berlaku defisit ketika operasi, syarikat pengendali Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Constructions ECRL Sdn Bhd (CCCECRL) akan menanggung kerugian secara bersama dengan nisbah 50-50.
 
“Kita tahu, mahu capai keuntungan dalam sektor rel agak sukar tapi kita cuba, pihak China melalui syarikat mereka akan ambil risiko, kalau rugi akan tampung 50-50 tapi kalau ada keuntungan, Malaysia akan dapat 80 peratus keuntungan operasi, mereka pula hanya dapat 20 peratus.
 
“Jadi ini adalah hasil rundingan semula pada 2019 yang kita realisasikan hari ini. Bukan saja kita tandatangani Opco tapi kita lancarkan design ECRL, kita nampak ada elemen tempatan seperti batik dalam kereta api di luar dan dalaman,” katanya.
 
Loke memaklumkan walaupun terdapat perjanjian baharu ini, MRL akan terus mengekalkan pemilikan penuh terhadap semua aset ECRL.
 

80 PERATUS PEKERJA OPERASI DAN SELENGGARA WARGA TEMPATAN

Katanya, MRL turut mengesahkan bahawa 80 peratus daripada tenaga kerja operasi dan penyelenggaraan ECRL akan terdiri daripada pekerja tempatan.
 
Sempena pengumuman ini, Loke melancarkan logo rasmi ECRL dan memperkenal rekaan tren Electric Multiple Unit(EMU) baharu hasil ciptaan syarikat China, CRRC Dalian.
 
Tren EMU dengan enam gerabak itu mampu membawa sehingga 430 penumpang dan dilengkapi dengan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
 
“Saya dimaklumkan bahawa 11 set tren EMU ini telah diperuntukkan oleh CRRC Dalian dengan set pertama dijangka tiba menjelang akhir tahun 2025.
 
“Tren ini akan bergerak pada kelajuan 160kmj dan mula beroperasi pada Januari 2027, merangkumi perjalanan dari terminal Kota Bharu ke terminal Gombak, yang akan mengambil masa sekitar empat jam,” ujarnya.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa CRRC Dalian telah komited menghantar dua tren elektrik (E-Loco) untuk kargo yang akan dipasang di depot tren ECRL di Kuantan Port City sebagai usaha untuk mempromosikan penyertaan tempatan serta sebahagian daripada inisiatif pemindahan teknologi.
 





APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here