Berkereta vintaj, Daud kembara Malaysia ke Perancis

152

Menyimpan hasrat sejak kecil untuk mengembara merentasi dunia dengan memandu kereta vintaj, Mohd Daud Kassim berjaya merealisasi hasrat itu pada usia 65 tahun.

Memandu Mercedes W114 (1968),  usahawan dalam sektor kuasa ini memulakan pengembaraannya pada 15 September lalu ditemani rakan baiknya Zainal Md Said, 48 yang juga mekanik berpengalaman, menuju Thailand.





Selepas lebih 80 hari dan merentasi 20 buah negara, antaranya China, Azerbaijan, Greece, Macedonia Utara, Bosnia, Croatia, Hungary, Jerman dan Belanda, mereka tiba di Marseille, Perancis pada 3 Dis lalu, menamatkan perjalanan sejauh kira-kira 24,000km. 

“Ketika zaman kanak-kanak,  saya sering menonton drama komedi Amerika The Beverly Hillbillies  yang popular pada era 1960-an dan 70-an, mengisahkan keluarga miskin yang tinggal di pedalaman dan secara tiba-tiba menjadi kaya selepas menemukan minyak di tanah mereka.

“Keluarga itu kemudiannya berpindah ke Beverly Hills dengan membawa banyak barang termasuk peralatan memasak, menaiki kereta vintaj 1921 Oldsmobile Model 46 Roadster…masa tu saya tengok macam seronok sangat. Dari situ timbul hasrat nak mengembara cara berkereta,” kongsinya.

Menurut anak kelahiran Segamat, Johor itu, beliau mendapat inspirasi untuk menggunakan kereta vintaj itu selepas melihat bapa saudaranya Allahyarham Md Kasim Mohamed menyertai perarakan London-Sydney Marathon pada 1977 dengan menaiki Fiat 132 GLS.

Berkongsi tentang persediaan mengharungi perjalanan itu, bapa kepada tiga orang anak dan datuk kepada tiga cucu ini mula membaik pulih kereta klasik tersebut sejak empat tahun lepas.

“Kelebihan kereta vintaj ini ialah binaannya mekanikal sepenuhnya, jadi mudah untuk penyelenggaraan dan pembaikan,” jelasnya.

Ditanya tentang cabaran, Mohd Daud berkata antara masalah terbesar yang dihadapinya sepanjang perjalanan itu ialah proses untuk merentasi sempadan beberapa negara, melibatkan dokumentasi.

“Saya hadapi masalah ini antaranya ketika mahu merentasi Rusia yang memaksa saya mengubah haluan ke Azerbaijan dan seterusnya menyeberangi Laut Caspian menaiki feri di Aktau, Kazakshtan. 

“Satu pengalaman yang sangat mencabar kerana kami tiada rujukan atau orang yang berpengalaman menggunakan laluan ini. Kebanyakan orang akan melalui Rusia, tapi kami tidak boleh masuk dengan kereta kerana menggunakan e-visa,” jelasnya, menambah Azerbaijan tidak termasuk dalam perancangan asal mereka. 

MEMBAIKI KENDERAAN DI BAHU JALAN

Selain itu, mereka juga berdepan cabaran ketika ingin melepasi  sempadan Georgia ke Turkiye kerana perlu menurunkan semua barangan dari kereta termasuk peralatan berkhemah dan memasak bagi pemeriksaan.

“Di sini, kereta saya perlu memasuki mesin pengimbas dan kereta perlu berada dalam keadaan kosong daripada muatan.

“Memang memenatkan kerana selepas itu saya perlu masukkan balik barang-barang yang berat ini sebelum meneruskan perjalanan keluar ke Turkiye,” katanya, menambah mereka juga pernah membaiki kereta di tepi jalan selepas kenderaan itu mengalami kerosakan.

Beliau juga menghadapi detik cemas apabila terperangkap dalam  ribut salji ketika berada di pergunungan antara Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina, di mana kereta mereka tidak dapat bergerak dan memerlukan bantuan lebih lima orang penduduk tempatan untuk memasang snow chain pada tayar kereta sebelum dapat meneruskan perjalanan.

“Kami menguruskan kereta dalam keadaan menggigil kesejukan selain kelaparan. Mujur ada rakyat tempatan yang membantu walaupun ada kekangan bahasa,” katanya yang turut berkongsi menginap di hotel di dalam keadaan gelap gelita selepas bekalan elektrik terputus.

“Apapun saya berharap kisah saya ini dapat menjadi inspirasi dan pemangkin kepada individu lain untuk mencapai impian mereka,” katanya lagi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here