Suzuki memperkenalkan Swift Sport (generasi ZC33S) Edisi Akhir dalam unit terhad di Jepun.
Walaupun khabar angin, pembuat kereta itu tidak mendedahkan rancangan untuk melancarkan versi Swift generasi baharu, yang memberi petanda model ini mungkin merupakan yang terakhir seumpamanya.
Swift Sport Edisi Akhir itu didatangkan dengan kemasan hitam pada gril dan rim aloi eksklusif bersaiz 17-inci, brek kaliper merah serta lencana Sport berwarna merah dan hitam serta pelekat istimewa pada tiang C.
Dalam kabin, kemasan gaya aluminium disematkan pada papan pemuka, sisi pintu dan konsol tengah dengan padanan perkataan Sport dan “ZC33S powered by Suzuki” berhampiran kotak gear.
Edisi Akhir mengekalkan tempat duduk bucket Swift Sport standard, pedal aluminium dan jahitan benang merah untuk gaya yang lebih sporty.
Suzuki Jepun turut menawarkan pelbagai aksesori pilihan bagi Swift Sport ZC33S Edisi Akhir termasuklah elemen aero yang lebih ketara, pelekat tambahan, hiasan lampu depan, penutup tangki bahan api dan banyak lagi, membolehkan pemilik menyesuaikan kenderaan mereka mengikut citarasa.
Suzuki Swift Sport masih menggunakan enjin 1.4 liter pengecas turbo berkuasa 138hp dan tork 230Nm bersama pilihan kotak gear enam kelajuan automatik atau manual.
Swift Sport ZC33S Edisi Akhir akan dikeluarkan dari Mac hingga November 2025. Harga bermula JYP 2,329,800 (RM66,656) untuk manual dan JYP 2,401,300 (RM68,702) untuk automatik.
Suzuki telah mengumumkan bahawa Swift Sport standard akan menghentikan pengeluaran pada Februari 2025, walaupun ia akan kekal tersedia bersama Edisi Akhir sehingga stok sedia ada habis.