Chery Malaysia menjadikannya jenama automotif pertama di Malaysia yang menerima pensijilan SIRIM untuk pek bateri kenderaan elektrik (EV) Lithium-ion.
Pengiktirafan oleh SIRIM QAS International membuktikan komitmen Chery terhadap kualiti dan pematuhan kepada piawaian prestasi dan keselamatan tertinggi.
Pensijilan SIRIM itu memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kenderaan elektrik Chery dilengkapi bateri EV yang memenuhi standard keselamatan dan kualiti yang ketat.
Selain itu, pensijilan berkenaan menyokong usaha Malaysia mempromosikan pembangunan mampan dan mengurangkan jejak karbon, menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan hijau untuk generasi akan datang.
Bateri EV Chery turut menjalani ujian ketat di China mengikut piawaian UN R100, memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan dan prestasi antarabangsa untuk kebolehpercayaan, kecekapan, dan ketahanan.
Pada masa ini, OMODA E5 adalah satu-satunya kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV) Chery yang ditawarkan di pasaran Malaysia.
Kenderaan ini berharga RM146,800 dan hadir dalam pilihan warna seperti Aqua Green, Khaki White, Phantom Grey, dan Dark Black.
OMODA E5 dilengkapi bateri lithium-ion fosfat berkapasiti tinggi 61kWh, menawarkan jarak perjalanan sehingga 430km (WLTP), dengan prestasi 201hp dan tork 340Nm. Ia juga menampilkan pengecasan pantas dan mesra alam.
Pada Oktober lalu, Chery meraikan unit Completely Knocked Down (CKD) pertama OMODA E5 dari barisan pengeluaran di kilang Inokom di Kulim, Kedah.