Tol percuma sempena Krismas pada 23 hingga 24 Disember

36

Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 23 dan 24 Disember ini sempena perayaan Hari Krismas.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tol percuma akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam Isnin ini (23 Disember) hingga 11.59 malam, 24 Disember (Selasa).





Bagaimanapun, pengecualian tol itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Kerajaan Madani telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras dengan aspirasi ‘Madani di Hati, Rakyat Disantuni’ sempena perayaan Hari Krismas 2024.

“Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38 juta,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengecualian tol itu dengan sebaik-baiknya dan merancang perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa musim cuti.

Beliau menasihatkan pengguna mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan tayar kenderaan sentiasa baik serta baki kad Touch ‘n Go serta eWallet yang mencukupi.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here