Sebuah keluarga terselamat daripada kemalangan apabila kereta mereka dihentam tayar yang tercabut dari sebuah treler di Jalan Jerantut-Maran, berhampiran Jambatan Sungai Salan di sini, kira-kira 6.30 petang semalam.
Mohamad Afiq Syahmi Mohd Ramlan, 28, yang memandu kereta Honda City itu berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama isteri, anak perempuan berusia dua tahun dan seorang rakan isterinya dalam perjalanan dari Bandar Jengka ke Jerantut.
“Saya nampak ‘tayar terbang’ dan bergolek ke arah kereta dan cuba mengelak ke kiri jalan, namun tayar itu menghentam bahagian hadapan kereta sebelum melanggar pintu kanan hadapan dan belakang.
“Saya terus berhenti dan semua (penumpang) keluar dari kenderaan dan pergi ke kawasan selamat di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia berkata, selepas kejadian itu, treler terbabit tidak berhenti, namun berjaya dikejar oleh pengguna jalan raya lain yang kemudian menahan pemandu treler terbabit.
“Saya dimaklumkan pemandu treler itu tidak sedar tayar belakang sebelah kanan kenderaannya tercabut. Kami berdua kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut,” katanya.
Mohamad Afiq Syahmi bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku dalam kejadian yang mencemaskan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Zukri Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kedua-dua pihak terbabit dalam insiden itu membuat laporan polis.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 94 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana komponen kenderaan tercabut.
“Saman menyebabkan kemalangan dikeluarkan terhadap pemandu lori. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.