Berpantang maut sebelum ajal, itu perumpamaan tepat kepada seorang pemandu apabila terselamat daripada rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Bukit Marak, Kota Bharu, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 1.20 pagi itu, sebuah Perodua Myvi difahamkan telah terlanggar tiang elektrik sebelum terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Pegawai Bomba Kanan II Azman Mohamad Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi.
“Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera telah ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di lokasi, kami dapati sebuah kereta telah terbakar selepas melanggar tiang elektrik,” katanya
Menurut beliau, pada masa sama kereta tersebut sudah terbakar 100 peratus.
Jelasnya, pemandu itu telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai.
Azman memberitahu, lelaki tersebut difahamkan mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka.
“Operasi tamat pada jam 2.02 pagi,” katanya.