Tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila Toyota Estima dinaiki terlibat dalam kemalangan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di KM204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka, semalam.
Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu ialah pemandu MPV, Khairul Izwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri serta pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang belum diketahui identiti.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV, sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar kanan bahagian depan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
Katanya, bas pelancongan yang tiba di lokasi kejadian terlanggar tayar tersebut dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa bas itu terbabas ke lorong bertentangan, ia berlanggar dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 27 tahun yang dinaiki bersama kelindan berusia 16 tahun.
“Pelanggaran itu menyebabkan treler terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan Perodua Bezza dan Toyota Estima,” katanya.
Akibat kemalangan itu, kelima-lima mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Melaka dan Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut.
BAS PELANCONG LANGGAR TAYAR LORI
Katanya, dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, dirawat di zon kuning Hospital Melaka dan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dirawat di zon merah hospital yang sama.
Ujarnya, punca kemalangan disebabkan bas pelancong yang melanggar tayar lori di tengah jalan menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan tiga kenderaan lain.
“Mangsa-mangsa telah diserahkan kepada Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Semua kenderaan yang terlibat ditahan untuk dibawa ke Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.