Mitsubishi Colt Performance tampil berkuasa tanpa komponen prestasi

56


Tatkala Mitsubishi pada ketika ini tidak mempunyai sebarang produk berprestasi tinggi, ia tidak menghalang pasukan Mitsubishi Republik Czech daripada menawarkan satu produk yang cukup menarik, iaitu Colt Performance.

Model yang ditukarkan lencananya daripada Renault Clio itu bukan sahaja diberikan penampilan yang lebih garang, ia turut mendapat naik taraf kuasa terhadap enjin asalnya.





Mitsubishi Colt Performance ini dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Daripada kuasa standard 99 hp/160 Nm, Colt Performance ini dilapor mampu menghamburkan kuasa setinggi 127 hp dan 222 Nm, dan dibuktikan sendiri menerusi ujian dyno.

Bahagian luaran supermini Colt ini diberikan wrap kustom yang diinspirasikan daripada zaman kegemilangan Mitsubishi Ralliart, sebelum keempat-empat gerbang roda dihiasi dengan rim OZ Racing Superturismo GT bersaiz 18 inci.

Sayang sekali, tiada sebarang naiktaraf casis diperincikan, bermakna Colt Performance ini masih lagi mengekalkan tetapan suspensi standard kilang.

Namun begitu, Mitsubishi Republik Czech mendakwa peningkatan kuasa yang diberikan itu adalah signifikan disebabkan berat kereta ini cuma sekitar 1,097 kg sahaja.

Apa pendapat anda tentang naik taraf yang diberikan ini? Adakah ia sesuatu yang patut diraikan?

 



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here