Malaysia Airlines Bhd berdepan isu dengan pesawat baharu Airbus A330neo (pilihan enjin baharu) digantung minimum 48 jam.
Ini kerana selepas pesawat itu mengalami beberapa masalah teknikal sejak penerbangan sulungnya ke Melbourne pada 19 Disember.
Pengarah Urusan Kumpulan syarikat induk penerbangan nasional itu, Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail menyatakan Malaysia Airlines telah mengenalpasti tiga isu teknikal yang berpunca daripada tahap kualiti pengeluaran dan penghantaran kilang.
“Malaysia Airlines telah mengalami beberapa siri isu teknikal yang berpunca daripada kerja yang tidak berkualiti dari kilang dan ini telah memberi kesan kepada penerbangan sulung Malaysia Airlines.
“Pesawat berkenaan kini digantung untuk baik pulih dan kami ingin Airbus dan Rolls-Royce menyiasat punca isu pada pesawat baharu berkenaan.
“Pihak OEM mesti bertanggungjawab. Perkara ini berlaku pada pesawat baharu tidak boleh diterima dan memalukan.
“Puncanya datang dari kilang dan ia menjejaskan reputasi dan jenama Malaysia Airlines. Ia tidak adil untuk jenama itu. Keselamatan adalah yang utama. Saya tidak akan mengambil risiko apa-apa pada keselamatan,” katanya kepada Business Times.
ISU BERTERUSAN MAS BATALKAN PENERBANGAN KE MELBOURNE
Pada 19 Disember, MAG mengadakan sambutan besar-besaran untuk memperkenalkan pesawat berbadan lebar baharunya, A330neo yang dikuasakan enjin Rolls-Royce Trent 7000.
A330neo menggunakan nombor pendaftaran 9M-MNG dan merupakan yang pertama daripada 20 pesawat yang ditempah pada 2022. Ia membuat penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Melbourne melalui penerbangan MH149.
Bagaimanapun, detik bersejarah itu memberi impak negatif kepada reputasi MAS apabila mengalami masalah teknikal melibatkan enjin dan sistem hidraulik selepas kelewatan penghantaran selama dua bulan.
Pesawat yang tiba di Malaysia pada 29 November itu juga mengalami isu teknikal sekali lagi pada 20 Disember yang mengakibatkan pesawat itu digantung untuk selenggara sebaik pulang ke Kuala Lumpur.
Pada 21 Disember, Malaysia Airlines malangnya terpaksa membatalkan penerbangan MH149 ke Melbourne kerana isu itu berterusan.
ROLLS-ROYCE SEDANG GANTI KOMPONEN ROSAK
Jurucakap Airbus menyatakan pihak pengeluar pesawat Eropah itu bersedia untuk menyokong Malaysia Airlines dengan isu teknikal bagi pesawat baharu mereka.
“Airbus bersedia untuk menyokong Malaysia Airlines dengan sebarang isu teknikal di sekitar A330neo baharu mereka,” kata jurucakap itu.
Jurucakap Rolls-Royce mengatakan bahawa penyelesaian masalah awal pada A330neo telah mengenalpasti komponen yang rosak dan penggantian bahagian sedang dijalankan.
“Kami bekerjasama rapat dengan Malaysia Airlines untuk menyelesaikan isu teknikal, penyelesaian masalah awal kami telah mengenalpasti komponen yang rosak, dan penggantian bahagian itu sedang dijalankan,” kata jurucakap itu dalam balasan e-mel.
SYARIKAT PENERBANGAN HADAPI CABARAN SELENGGARA
Malaysia Airlines terjejas teruk pada Ogos tahun ini selepas syarikat penerbangan itu terpaksa menangguhkan sementara beberapa penerbangan kerana mengalami pelbagai cabaran teknikal akibat kekurangan komponen pesawat dan alat ganti enjin.
Pada bulan September, Izham memberitahu bahawa OEM mesti bertanggungjawab ke atas isu yang dihadapi oleh industri penerbangan komersial global kerana syarikat penerbangan menghadapi cabaran penyelenggaraan.
Beliau juga melahirkan kekecewaan atas kelewatan penghantaran A330neo pertama yang telah mengganggu rancangan pemodenan armada MAG dan pengembangan rangkaian.
Selain itu, kumpulan itu juga menghadapi kelewatan penghantaran Boeing 737 MAX 8 yang ditempah pada 2016.
Baru-baru ini, ia menerima 737 MAX 8 yang kelima selepas mogok tujuh minggu oleh pekerja Boeing yang kecewa dengan pengeluar pesawat di Amerika Syarikat.
Penerbangan ke Melbourne dari Kuala Lumpur akan menggunakan pesawat lain sementara waktu.