Kegagalan syarikat menyelenggara dengan baik menjadi faktor penyumbang utama insiden tayar kenderaan berat tercabut seperti dalam kemalangan meragut tujuh nyawa di KM204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di Melaka malam tadi.
Ahli Majlis Tetap, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan berkata penyelenggaraan kenderaan yang tidak dibuat secara berkala dan menyeluruh turut menyebabkan kemalangan seperti itu berlaku.
“Dari segi kualiti, komponen tidak disemak dan mungkin tidak mengambil alat ganti yang betul. Sistem dia (syarikat) itu boleh dipertikaikan.
“(Selain itu) kena juga ada pemeriksaan dibuat secara berkala. Tetapi, siapa yang lakukan pemeriksaan itu kita tidak tahu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes kejadian tayar kenderaan berat tercabut semakin banyak berlaku disebabkan penambahan jumlah lori di lebuh raya.
Katanya, selain itu perjalanan kenderaan berat seperti lori juga tidak dikawal seperti sewaktu puncak dan semasa musim perayaan.
“Bila perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina atau Krismas, sepatutnya pihak penguat kuasa melaksanakan operasi berkaitan lori berat,” katanya.
Menurutnya, punca kemalangan melibatkan kenderaan berat juga disebabkan pemanduan laju selain kualiti lori yang dipandu.
“Ada yang terdedah seperti besi terkeluar, ikatan terburai, muatan tak ditutup, kenapa jadi begitu?,” katanya.
ARTIKEL LAIN
Video: Detik cemas Honda City dihentam tayar treler tercabut