Bangkok laksana had laju 60 km/j dalam bandar

23


Satu peraturan baharu mengenai had laju pemanduan di Bangkok dikeluarkan iaitu pada had 60 kilometer sejam (km/j), kecuali di 13 jalan tertentu, lapor laman berita Thaiger semalam.

Jurnal kerajaan, The Royal Gazette mengumumkan peraturan itu di laman web rasminya mengenai had laju dan larangan bunyi bising yang dikuatkuasakan semalam di ibu negara Thailand. 

Had laju baharu itu adalah sebahagian daripada kempen untuk mengurangkan kemalangan jalan raya yang dianjurkan oleh Biro Polis Metropolitan.





Perubahan paling ketara yang diperkenalkan dalam pengumuman itu adalah pengurangan had laju di semua jalan raya di Bangkok daripada 80 km/j kepada 60 km/j.

Pengumuman itu juga menggesa pengguna jalan raya untuk mengurangkan kelajuan kepada 50 km/j apabila memandu di jalan sekitar kawasan diraja.

Selain had laju, pemandu juga dilarang membunyikan hon atau membuat sebarang bunyi yang kuat di jalan sekitar kawasan diraja tersebut.

Berdasarkan Seksyen 67 Akta Pengangkutan Darat, pemandu yang gagal mematuhi had laju di setiap jalan perlu membayar denda antara 200 baht (RM26) hingga 1,000 baht (RM130), bergantung kepada budi bicara pegawai trafik.

TImbalan Komisioner Polis Metropolitan, Thawat Wongsa-nga berkata, memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan di Bangkok, diikuti pemanduan dalam keadaan mabuk dan menukar lorong secara melulu.

Beliau menjelaskan, Bangkok adalah satu daripada hanya 14 bandar di dunia yang masih belum melaksanakan had laju bawah 60 km/j dan menyatakan bahawa teknologi seperti kamera akan digunakan untuk memantau kelajuan kenderaan di jalan raya.



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here