163 warga China bekerja ‘macam hamba’ di tapak kilang EV di Brazil

14


Seramai 163 warga China ditemui bekerja dalam ‘keadaan seperti hamba’ di tapak pembinaan kilang dimiliki pengeluar kenderaan elektrik negara itu, BYD, dekat Bahia, Brazil.

Bercakap pada sidang media semalam, Pejabat Pendakwa Buruh tempatan, berkata kumpulan pekerja itu ditemui pihak berkuasa Brazil.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, kumpulan pekerja berkenaan diupah sebuah firma lain di China dan dibawa ke Brazil secara haram.





Mereka dikatakan bekerja bagi tempoh yang panjang, melebihi had dibenarkan oleh undang-undang Brazil dengan ada kalanya sehingga tujuh hari berturut-turut dalam seminggu.

Antara pelanggaran lain, ialah lokasi penginapan menempatkan kumpulan pekerja itu, yang dikatakan dalam keadaan kurang sempurna.

BYD bagaimanapun enggan mengulas perkara berkenaan, selain pihak berkuasa tidak mendedahkan firma menggajikan pekerja berkenaan.

‘Keadaan seperti perhambaan’ di Brazil membabitkan kes buruh paksa merangkumi ikatan hutang, keadaan kerja mengaibkan, waktu kerja panjang dan membahayakan kesihatan pekerja serta sebarang kerja mencabul martabat manusia.

Sementara itu, pemeriksa buruh, Liane Durao, berkata kumpulan pekerja terbabit perlu meminta kebenaran untuk meninggalkan tempat penginapan masing-masing.

Tambah beliau, pihak majikan dikenal pasti memegang pasport sekurang-kurangnya 107 daripada keseluruhan pekerja itu, selain keadaan tapak pembinaan terbabit adalah berbahaya.

“Kami mendapati 163 kakitangan menjalan kerja dalam keadaan seperti perhambaan. Tahap keselamatan minimum juga tidak dipatuhi di persekitaran kerja. Majikan belum dikenakan denda dan operasi masih diteruskan,” katanya.



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here