September lalu, skuter adventure Zontes 368G dikesan menjalani ujian enduran di negara jiran, Thailand.
Sementara di Malaysia, wakil jualan motosikal asal China itu sudahpun menerima tempahan skuter berkenaan sekitar bulan ini.
Ini bermakna pelancaran Zontes 368G semakin menghampiri. Berdasarkan risikan sumber industri, skuter berkenaan bakal dilancarkan minggu depan iaitu pada 2 Januari 2025.
Menurut sumber, Zontes Malaysia akan menawarkan versi pemasangan tempatan (CKD) dan tanda harga jualan di bawah RM30,000.
“Sekarang dah boleh tempah, namun tempoh menunggu dijangkakan sekitar tiga hingga empat bulan,” kata sumber.
Zontes 368G dikuasakan enjin 368cc dengan output 38.2hp dan tork 40Nm serta kelajuan maksimum 129kmj.
Ia memiliki dimensi panjang 2,230mm, lebar (925mm) dan tinggi (1,395mm) serta jarak roda 1,560mm.
Ciri peralatan yang paling menyerlah adalah tawaran kamera resolusi tinggi yang diletakkan di bahagian depan dan belakang, serta radar di belakang untuk memberi amaran kepada rider tentang titik buta pada cermin sisi.