Tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan dikesan dilakukan seorang pemandu lori syarikat kurier ketika ditahan dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Puchong Barat, Puchong pada Selasa.
Pemuda berumur 30-an itu memberi alasan tidak cukup wang untuk membuat lesen selain mendakwa terpaksa menggunakan lori yang cukai jalan telah tamat tempoh untuk menghantar barangan kepada pelanggan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata operasi dijalankan melibatkan kekuatan 55 pegawai dan anggota bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah malam.
“Operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 1,022 buah kenderaan dan 231 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan dan telah diambil tindakan.
“Pemeriksaan melibatkan antaranya lori, van, kereta, kenderaan pacuan empat roda, motosikal dan pelbagai kenderaan lain,” katanya.
Katanya, antara kesalahan ketara dikesan adalah melibatkan lesen memandu.
“Kesedaran berkaitan lesen memandu ini dilihat masih kurang, dan masih ramai pemandu serta penunggang didapati tiada lesen memandu yang sah.
“Rata-ratanya memberikan alasan bahawa tidak sempat untuk membuat lesen, selain mendakwa tiada wang mencukupi
“Sitaan dijalankan melibatkan kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh selain tiada insurans yang sah,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 421 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan dan sebanyak 17 kenderaan melibatkan 15 motosikal dan dua lori disita untuk tindakan lanjut.