JPJ serbu Puspakom seluruh negara

1180


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh negara hari ini bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin pihaknya melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.





Katanya, fasa pertama adalah sekatan jalan raya yang dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua adalah pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti di lakukan hari ini.

“Dalam operasi hari ini di Puspakom Wangsa Maju bagi tempoh dua jam, JPJ telah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan.

“Selain itu, tujuh kenderaan masing-masing lima kereta dan dua lori telah disita,” katanya.

Tambah Muhammad Kifli, pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan uzur.

“Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom (Mahmood Razak Bahman) untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” ujarnya.

Katanya lagi, pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, beliau berkata, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.

 

 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here