Fan Yuhu dari China dan isterinya, Chee Chin Yi rakyat Malaysia menjadi pasangan pertama mengembara keliling dunia menggunakan kereta elektrik (EV).
Pasangan berkenaan sudahpun tiba di Afghanistan menerusi perkongsian di akaun Facebook rasmi mereka.
Fan Yuhu dan isteri memandu BYD Atto 3 dengan nombor pendaftaran Malaysia merancang mengembara ke 100 negara dalam tempoh 800 hari.
Pengembara Malaysia itu berkata dia dan suami mahu mencipta Rekod Dunia Guinness baharu.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook 大马电车首次自驾穿越中国, mereka telah tiba di negara ke-13 iaitu Afghanistan.
Pasangan itu bergerak menuju ke sempadan Afghanistan di Hailaton selepas bersarapan di Hotel Ason di Telmez, Uzbekistan.
Chin Yi menyatakan tidak berdepan masalah ketika melalui pemeriksaan askar Taliban bagi mendapatkan cop pasport.
“Kami tidak berasa takut atau dikenakan bayaran. Hanya keluarkan bagasi dari kereta dan masuk ke bahagian keselamatan untuk seketika dan proses itu hanya dalam setengah jam,” tulisnya.
CAS PERTAMA KALI DI AFGHANISTAN
Afghanistan memiliki banyak stesen minyak bagaimanapun tidak memiliki infrastruktur pengecasan.
“Terdapat banyak stesen minyak di Afghanistan, satu untuk beberapa kilometer, lebih banyak daripada di Thailand,” katanya.
Pasangan itu berjaya mengecas BYD Atto 3 buat pertama kali secara percuma di negara berkenaan.
Chin Yi berkongsi mereka mengecas EV berkenaan di sebuah stesen minyak selepas meninggalkan Mazar-i-Sharif yang mana sehari sebelumnya baki bateri menawarkan perbatuan sejauh 489km.
“Kebanyakan pemanduan ke Kabul adalah mendaki kerana melalui pergunungan Pamir, jadi ia menggunakan lebih banyak elektrik sepanjang jalan. Menjelang tengah hari, hanya tinggal 300km.
“Ini adalah kali pertama saya pergi ke stesen minyak untuk bertanya sama ada boleh tumpang untuk mengecas.
“Tidak disangka-sangka, orang Afghanistan segera menyambut saya dan mengatur pengecasan. Walaupun voltannya tidak stabil, kadang-kadang hanya 1.1KW namun bateri masih dicas penuh keesokan harinya,” kongsinya.