“Kejadian berlaku sekelip mata apabila kereta saya terbalik dalam keadaan keempat-empat tayar ke atas.
“Saya cuba membuka dan menolak pintu namun gagal. Kereta sekali lagi berpusing dan ketika itu saya menendang pintu bahagian penumpang.
“Alhamdulilah ia terbuka dan Rosnani keluar kenderaan sebelum berpaut belakang kereta.
“Saya juga berjaya keluar dari kereta dan sempat berpaut pada paip besi,” katanya.
SYUKUR ADA YANG SANGGUP TERJUN & SELAMATKAN
Zaleha berkata, dia tidak menyangka Choo Ngiam Choong, 50-an sanggup terjun dan menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam arus deras.
“Saya bersyukur dan tidak dapat membayangkan sekiranya Encik Choo tidak muncul, mungkin saya dan rakan sudah tiada lagi.
“Saya tidak mampu membalas jasanya dan hanya mampu mendoakan supaya dia dikurniakan kesihatan baik.
“Saya sempat mengucapkan terima kasih padanya selain turut melakukan panggilan video bagi berkongsi keadaan kami berdua selepas kejadian,” katanya.
LEBAM DAN TRAUMA
Menurut Zaleha, dia dan Rosnani bersyukur hanya mengalami lebam di badan dan trauma setiap kali mengenang kejadian.
Ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu berkata, dalam kejadian itu dia kerugian lebih RM3,000 termasuk kehilangan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran anak.
“Saya mahu membeli barangan dapur di Bandar Kota Tinggi dan tidak menjangka ditimpa musibah begini.
“Saya buntu akibat kerugian dialami termasuk kereta kami, (JJL729) masih gagal ditemukan dan tidak pasti hanyut ke mana.
“Bagaimanapun saya redha dengan ujian ini dan bersyukur kerana terselamat,” katanya.