Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas seorang lelaki digelar ‘abang blazer merah’ yang tular di media sosial kerana mencederakan seorang penghantar barang pada 2 November tahun lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhi hukuman itu ke atas Muhammad Nazrul Hairie Harmi, 28, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Samier Ibruhem, 24, menggunakan kaki dan tangan pada 3.59 petang di Lobi Menara IQ, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange.
Muhammad Nazrul, yang bekerja sebagai kerani, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS manakala peguam Rhastdan Abdul Wahab memohon denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain penanggung utama keluarga.