Gara-gara berhenti untuk menukar pemandu dipercayai menjadi punca kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan dalam kejadian di KM21.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Chevrolet berhenti di lorong kecemasan lebuh raya tersebut.
“Siasatan mendapati kenderaan itu dari arah Port Dickson menghala ke Shah Alam berhenti disebabkan pemandu pacuan empat roda itu keletihan dan meminta rakannya yang berada di kerusi penumpang depan untuk memandu kenderaan itu.
“Mangsa kemudiannya keluar dari kenderaan dan menuju ke arah bahagian pemandu sebelum datang sebuah lori merempuhnya,” katanya.
Mangsa kemudiannya tercampak ke tengah jalan akibat pelanggaran itu.
“Lori terbabit kemudiannya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan lain jenis Perodua Axia di laluan sama.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 0111-8539116 atau 03-31872222.