Nahas pesawat ringan, dua mayat ditemui tertimbus dua meter

867

Mayat dua mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang ditemui terbenam dua meter dalam tanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan juruterbang dan pembantu juruterbang ditemui dalam kokpit pesawat.



Menurutnya, bahagian kokpit itu tertimbus sedalam dua meter di lokasi pesawat terhempas.

Hampir 45 peratus bahagian badan pesawat ini terbenam dalam tanah, dan kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa.

“Kita menggunakan bantuan jengkaut pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Menurut senarai manifest penerbangan, mangsa dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua mangsa merupakan ahli kepada kelab penerbangan rekreasi, dan dipercayai Yee sedang melatih Roshaan.

Hussein berkata, pesawat ringan itu milik sebuah syarikat penerbangan rekreasi dan disahkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum kapal terbang seberat 1,300kg itu terhempas di kawasan kelapa sawit. 

“Semakan mendapati panggilan terakhir pesawat kira-kira jam 1.35 petang, pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan kejadian jam 1.45 petang,” katanya.

Menurutnya, radius pencarian nahas melibatkan keluasan 50 meter.

Hussein berkata, operasi mencari dan menyelamat di lokasi nahas digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan.

“Keadaan mayat itu bagaimanapun belum dikenalpasti namun dipercayai masih sempurna atau ‘intact’.

“Mayat dua mangsa ini akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, siasatan berkaitan nahas itu dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Siasatan turut dijalankan mengikut kertas inkuari polis dan kematian mengejut (SDR). Insiden ini bagaimanapun tidak melibatkan orang awam lain atau penduduk berhampiran lokasi kejadian.

 

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here