Sony Honda Mobility bakal lancar SUV dan model kompak EV menjelang 2030

276

Kumpulan Sony Jepun dan Honda Motor akan memperkenalkan tiga model kenderaan elektrik (EV) menjelang separuh kedua dekad ini menerusi syarikat usahasama Sony Honda Mobility.

Menurut laporan Nikkei Asia, Sony Honda Mobility akan melancarkan SUV pada 2027 dan  model kompak pada 2028 ataupun lebih awal selepas pelancaran sedan yang dijadualkan pada 2025 dalam usaha bersaing dengan Tesla.



“Kami terus meneroka barisan masa depan. Bagaimanapun, buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan apa-apa selain daripada apa yang diumumkan setakat ini,” kata jurucakap Sony Honda Mobility.

Pada Januari 2023, Sony Honda Mobility mengumumkan bakal memulakan jualan sedan menjelang akhir 2025 di bawah jenama Afeela yang mana penghantaran dijadualkan bermula awal 2026 di Amerika Utara.

Syarikat usahasama itu ditubuhkan pada 2022, menggabungkan pengalaman Honda dalam kejuruteraan dan membina kenderaan dengan perisian dan kepakaran permainan Sony bagi bersaing dengan jenama EV sedia ada.

Model konsep Afeela yang dikemaskini didedahkan bulan lalu pada acara CES yang mana tempahan online akan dibuka tahun depan. Sedan itu direka bagi membolehkan pemilik memuat turun muzik, aplikasi dan peta pada paparan skrin kenderaan.

Sedan elektrik pacuan semua roda (AWD) itu memiliki panjang 4,915mm, lebar (1,900mm), tinggi (1,460mm) dan jarak roda (3,000mm). 

Afeela menggunakan bateri litium ion 91kWh dengan pengecasan DC sehingga 150 kW dan AC dengan output hingga 11 kW. Bagaimanapun, syarikat tidak mendedahkan output kuasa dan jarak perbatuan.

EV kerjasama Sony dan Honda itu dilengkapi dengan motor 180kW di depan dan belakang. Manakala suspensi udara disokong dengan double wishbone (depan) dan multi link (belakang).

 

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here