PT Toyota-Astra Motor (TAM) Indonesia panggil balik lima model susulan penemuan isu keselamatan atau kecacatan yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Model yang terlibat ialah Toyota Sienta, Avanza, Veloz, Yaris Cross dan Vios.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAM, MPV Sienta yang terlibat merupakan model keluaran Jun 2016 hingga April 2020.
Kempen panggil balik itu melibatkan pemeriksaan klip kemasan tiang A yang berpotensi berlakunya kebocoran air akibat bahan kedap yang tidak maksimum. Ia boleh mengganggu kelancaran operasi sistem elektrik misalnya pintu gelongsor elektrik.
Manakala model Avanza dan Veloz yang terkesan merupakan keluaran November 2023 yang memerlukan baikpulih pada batang impak pintu sisi susulan pemasangan tidak sempurna.
Sementara itu, masalah nut penyerap hentak yang longgar melibatkan model Veloz (Oktober 2021 – Ogos 2023); Avanza (November 2021 – September 2023); Vios (Jun 2022 – Ogos 2023) dan Toyota Yaris Cross (Mei – September 2023).
Jelas TAM, komponen berisiko tercabut susulan pemasangan yang tidak ketat sehingga kenderaan hilang kestabilan di samping muncul bunyi yang tidak normal.