Baru-baru ini, Suzuki India memanggil balik tiga model 250cc iaitu Suzuki Gixxer 250, Gixxer SF250 dan V-Strom SX susulan penemuan isu keselamatan atau kecacatan yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan pengguna.
Kempen panggil balik itu melibatkan masalah pada aci sesondol enjin yang akan menghasilkan bunyi tidak normal atau enjin berisiko terhenti ketika menunggang.
Ia berkemungkinan disebabkan rawatan haba yang tidak betul pada komponen tersebut ketika proses pembuatan dan boleh menjejaskan kumpulan pengeluaran tertentu.
Bagaimanapun, Suzuki Malaysia menyatakan unit pemasangan tempatan (CKD) Gixxer 250 dan SF250 tidak terkesan dengan kempen panggil balik tersebut.
Tambahnya, Suzuki Malaysia mengutamakan kepuasan pengalaman pemilikan dan keselamatan pelanggan.