Proton Iswara terjunam gaung, pesara tentera ditemui maut selepas 20 jam

264

Seorang pesara tentera ditemui maut dalam Proton Iswara dipandunya semalam, dipercayai selepas kira-kira 20 jam terbabit kemalangan di KM65, Jalan Yong Peng -Kluang,  Johor. 

Mayat mangsa, Samsuri Noh, 52, yang cedera parah pada anggota badan ditemukan dalam kereta itu kira-kira jam 6.40 petang semalam selepas dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.



Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah Proton Iswara yang terbabas sendiri dan terbalik di lokasi berkenaan, sebelum pemeriksaan menemukan mangsa yang sudah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati mangsa memandu berseorangan dari bulatan Taman Sri Lamak menghala Kluang, sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke gaung.

“Menurut waris, mangsa keluar dari rumahnya di FELDA Bukit Tongkat di sini kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu dan sejak itu tidak pulang.

“Kita percaya kemalangan berlaku pada hari sama selepas jam 10.30 malam,” katanya.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here