Malaysia negara kedua pemilikan kenderaan tertinggi di Asia

582

Menurut data Seasia Stats, Malaysia merupakan negara kedua tertinggi bagi pemilikan kenderaan berdaftar antara 2015 hingga 2020, peringkat Asia. 

Kajian yang disediakan oleh International Organization of Motor Vehicle Manufacturers (OICA) dan Visual Capitalist itu mengumpul data pemilikan kenderaan berdaftar bagi setiap 1000 orang penduduk.



Di Malaysia, sebanyak 535 unit pendaftaran kenderaan bagi setiap 1000 penduduk di belakang Jepun dengan rekod 612 kenderaan berdaftar bagi setiap 1000 orang penduduk. Manakala mengikuti di belakang Malaysia adalah Syria dengan rekod 472 unit.

Menerusi data itu menunjukkan Malaysia mendahului kadar pemilikan kenderaan tertinggi di Asia Tenggara diikuti Thailand (277), Indonesia (78), Vietnam (58) dan Filipina (38). Dapatan tersebut melibatkan pemilikan kenderaan peribadi dan kenderaan komersial.

Pemilikan kenderaan adalah penunjuk penting pembangunan ekonomi dan mobiliti. Ia boleh memberikan cerapan tentang tahap akses kepada pengangkutan, kekayaan dan kuasa beli sesebuah negara.

Setiap isi rumah di Malaysia sekurang-kurangnya memiliki dua buah kenderaan di samping tahap kebergantungan rakyat tempatan terhadap kenderaan persendirian masih tinggi.

Ini kemungkinan kerana tahap pengangkutan awam yang masih tidak efisien di samping akses mudah bagi pengguna di beberapa kawasan. 

Misalnya Harian Metro tahun lalu melaporkan statistik perkongsian mod pengangkutan awam pada 2018 adalah sebanyak 20 peratus berbanding kenderaan persendirian iaitu 80 peratus.

Selain itu, kadar pemilikan kereta yang direkodkan saban tahun adalah tinggi dengan merujuk kepada data Persatuan Automobil Malaysia (AAM), secara konsistennya, lebih 500,000 kereta terjual di negara ini setiap tahun sejak 2010 sehingga 2022.

Tahun 2022 menyaksikan jumlah kenderaan yang terjual di negara ini melepasi 700,000 unit setahun, buat julung kali dalam sejarah iaitu 721,000 unit.

Bagi tempoh tiga tahun daripada 2020 hingga 2022, terdapat penambahan 1.76 juta bilangan kenderaan baru di atas jalan raya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here