Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membaik pulih 18 set tren antara perkhidmatan tren elektrik (ETS) dengan komuter KTMB, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar).
Loke berkata pihaknya berhasrat untuk menambah bilangan set ETS bagi menambah kekerapan perjalanan tren untuk penumpang pada setiap masa.
“Kami juga buat program untuk membaik pulih sebahagian set yang sudah lama jadi ia boleh digunakan supaya tambah bilangan kereta api yang ada dalam perkhidmatan kita…Secepat mungkin dalam beberapa bulan akan datang kami berharap kontrak itu akan diserahkan (baik pulih set tren).
“Sebahagian daripada tren ini perlu dibaik pulih secara besar-besaran jadi ia dapat ditawarkan untuk perkhidmatan.
Ada 18 set yang kami nak baik pulih antara ETS dengan komuter, bukan hanya ETS, kami juga perlukan lebih banyak kereta api komuter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KTMB terdapat perancangan untuk menambah gerabak ETS bagi mengelakkan kesesakan penumpang pada setiap masa.
Sementara itu, Loke berkata KTMB akan menambah tren dan kekerapan perjalanan menjelang Ramadan serta Aidilfitri, sama seperti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Beliau berkata KTMB akan terus berusaha untuk memastikan kereta api milik mereka dapat terus ditambah baik dan dipertingkatkan.
“Kementerian Pengangkutan sentiasa memohon peruntukan untuk menambah tren dan kami juga ada program untuk baik pulih tren yang lama, juga ada tren yang mungkin tidak dapat digunakan sekarang disebabkan isu penyelenggaraan.
“Kami akan cuba perbaiki supaya bilangan tren itu dapat ditambah dengan lebih banyak lagi. Apabila tren bertambah, maka kekerapan akan dapat ditambah,” katanya.