Cuba lintas landasan KTM, tiga warga asing maut

295

Tiga lelaki warga asing yang ditemui maut akibat dirempuh tren KTM Komuter dipercayai cuba menyeberangi landasan berhampiran Taman Puncak Utama, Kajang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.



Menurutnya, polis menerima laporan jam 9.30 malam daripada anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhubung penemuan dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar bergelimpangan di tepi landasan dipercayai dirempuh sebuah tren.

“Semasa pengadu sedang bertugas, dia dimaklumkan oleh pemandu tren komuter terlanggar objek di KM408.400 sebelum pengadu bersama rakannya ke lokasi kejadian.

“Pengadu membuat pemeriksaan dengan berjalan kaki di sepanjang landasan berhampiran KM408.400 dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di KM 408.029,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal dipercayai mangsa dilanggar oleh sebuah tren yang datang dari arah Serdang menuju ke Kajang.

Bagaimanapun katanya, tidak dapat dipastikan sama ada landasan itu laluan yang sering digunakan sebagai jalan pintas atau tidak.

“Pihak Hospital Kajang yang sampai ke tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa pada jam 10.45 malam.

“Pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati dua daripadanya warga Bangladesh dan seorang lagi warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.

Sebelum akhbar tempatan tiga lelaki warga Bangladesh ditemui maut dipercayai akibat rempuhan sebuah tren KTM Komuter malam tadi.

Tinjauan akhbar Harian Metro di sekitar kawasan berkenaan mendapati terdapat beberapa bahagian pagar di sepanjang landasan berkenaan dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

Beberapa pekerja warga asing warga Bangladesh dan Indonesia yang ditemui mengakui tidak mengenali mangsa tersebut dan berkata landasan itu jarang dilalui oleh mereka.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here