JPJ perkenal eTesting bermula April depan

455

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan memperkenalkan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) bermula April depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelaksanaan sistem itu akan membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan manakala prestasi calon diukur menggunakan alat pengesan dan kamera.



“Keputusan akan dijana secara masa nyata sekaligus meningkatkan integriti proses penilaian,” katanya.

Pembangunan sistem eTesting diumumkan pada 2022 dan JPJ sebelum ini mula menguji sistem berkenaan dalam projek fasa perintis di beberapa institut memandu.

Anthony berkata, buat masa ini calon-calon ujian memandu diberi pilihan sama ada menjalani ujian biasa atau eTesting sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2030.

Menurut Anthony, walaupun institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon yang memilih untuk menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat antaranya boleh membuat percubaan kali kedua bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan.

Beliau berkata, calon hanya perlu membuat ujian ulangan melibatkan elemen yang gagal sahaja tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen ujian Bahagian II (seperti pelaksanaan ujian secara manual) selain akan diberi keutamaan dalam senarai tempahan ujian dan rebat RM10 bagi pengeluaran Lesen Percubaan.

Pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada atau manual selain meningkatkan integriti sistem ujian memandu, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik, katanya.

Ketika ini, terdapat tiga institut memandu yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.

“Kementerian Pengangkutan menggalakkan semua institut memandu menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kerajaan akan mula membenarkan institut memandu untuk membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis masing-masing untuk mengurangkan masa menunggu bagi calon ujian memandu.

Beliau berkata, ia akan membolehkan calon untuk mengambil ujian undang-undang berkomputer dan ujian litar di tempat yang sama, sekali gus memudahkan mereka.

“Namun, institut memandu yang berhasrat untuk membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis mereka disyaratkan untuk juga menawarkan eTesting bagi ujian litar.

“Institut memandu boleh mula membuat permohonan bagi membuka Pusat Ujian KPP di premis mereka bermula April 2024. Institut memandu yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here