Aveta Malaysia selaku syarikat tempatan, pemasang dan pengedar motosikal jenama Aveta menghadiahkan tiga unit Aveta Ranger Max Explorer kepada Cikgu Ben Zaid bersama-sama dua rakan pengajarnya.
Pemberian motosikal ini adalah komitmen Aveta bagi membantu guru itu meneruskan khidmat mendidik dan mengajar anak-anak masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di Kelantan.
Motosikal itu diserahkan di dalam sebuah majlis “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” hari ini.
Tempoh 60km sehala jalan lasak
Setiap minggu, Cikgu Ben Zaid dan rakan-rakan gurunya menempuh perjalanan sejauh 60km mengharungi laluan balak dan berbukit serta hutan belantara untuk sampai ke destinasi untuk mengajar anak-anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan.
Ketika cuaca baik, perjalanan mereka ke kawasan pedalaman mengambil masa kira-kira tiga jam sahaja. Bagaimanapun, ketika musim hujan, laluan tersebut menjadi berbahaya dan perjalanan mungkin mengambil masa 10 jam.
Cikgu Ben, turut dikenali sebagai ‘Cikgu Offroad’ di media sosial, merakamkan dan berkongsi video perjalanan mencabar guru-guru tersebut berulang-alik ke perkampungan Orang Asli di pedalaman.
Kenapa Aveya Ranger Max Explorer?
Perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet dan ramai yang menghubungi pihak syarikat untuk berkongsi cerita dan pengorbanan Cikgu Ben sambil mencadangkan motosikal Ranger Max Explorer yang ketika itu baru dilancarkan sekitar November 2023 untuk digunakan bagi membantu guru mengharungi perjalanan mereka meredah laluan lasak.
Ini kerana motosikal itu tahan lasak dan berkeupayaan mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar dan sangat sesuai digunakan di kawasan terpencil.
Muhamad Halim Muhamad Zais atau Cikgu Ben Zaid berkata, mendidik anak-anak murid di Pos Balar adalah tanggungjawab istimewa yang sanggup dia terima.
Menurutnya, pelbagai cabaran yang hadapi sepanjang perjalanan, namun pendidikan penting untuk membolehkan semua rakyat Malaysia tidak kira di pelusuk daerah mana turut serta dalam kemajuan dan kemakmuran negara.
“Inilah yang mendorong dan membakar semangat saya untuk menyahut cabaran ini.
“Saya terhutang budi kepada pengikut saluran media sosial saya yang menyebarkan misi saya kepada Aveta Malaysia dan amat menghargai sokongan yang diberikan.
“Semestinya sumbangan ini akan membantu memenuhi tanggungjawab kami sebagai tenaga pengajar,” katanya.
Ciri istimewa Aveta Ranger Max Explorer
Cikgu Ben bersetuju bahawa ciri istimewa yang terdapat pada Ranger Max Explorer bersesuai dengan keperluan perjalanannya, termasuk brek cakera 2-piston di depan, tayar dwiguna, jarak antara dasar motosikal dengan permukaan tanah yang lebih tinggi, menjadikan perjalanan kami berulang-alik ke sekolah lebih lancar.
“Jentera ini menampilkan kerangka tulang T berganda yang ringan dengan reka bentuk yang dipatenkan khusus untuk memberikan jaminan pengendalian dan kestabilan tunggangan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.
“Di samping itu, kapasiti muatan tambahan yang lebih banyak membolehkan saya dan rakan-rakan membawa lebih banyak peralatan dan bekalan untuk anak-anak murid kami nanti,” katanya.
Usaha murni mereka menyentuh hati
Sementara itu, Pengarah Urusan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata, ketika melancarkan Ranger Max Explorer, pihaknya menerima pelbagai ulasan dan komen daripada warganet, yang semuanya memaparkan kisah kegigihan dan kesungguhan Cikgu Ben dan rakan-rakan pendidiknya.
Menurutnya, pengembaraan jalan lasak memang mencabar, malah beberapa motosikal yang mempunyai keupayaan serba boleh sahaja yang mampu untuk mengharungi perjalanan sedemikian.
Katanya, menghadapi laluan mencabar yang menguji keupayaan motosikal dan juga penunggang, ketabahan guru-guru ini untuk mendidik anak-anak Orang Asli benar-benar memberi inspirasi kepada pihaknya.
“Usaha murni mereka telah menyentuh hati kami dan mendorong kami untuk menghulurkan bantuan.
“Oleh sebab itu, tiga unit motosikal ini kami lengkapkan khusus untuk menempuh muka bumi yang lasak bagi meringankan beban Cikgu Ben dan pasukannya, membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada misi pendidikan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut memberikan waranti 2 tahun kepada mereka supaya mereka tidak perlu bimbang berkenaan motosikal mereka dan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab mendidik.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli di Pos Balar,” katanya.