Pemilik Tesla Model Y Long Range meluahkan rasa kecewa dan menyenaraikan tujuh sebab ingin memulangkan semula kereta elektrik (EV) tersebut.
Dia menyatakan Model Y itu ketinggalan dalam persaingan dan mencadangkan pengguna lain menunggu versi Model Y Juniper mendapat kemaskini.
“Sudah tiba masanya untuk saya memulangkan Tesla Model Y dan berkongsi sedikit tentang pengalaman pemilikan kerana terdapat beberapa isu.
“Tesla mempunyai beberapa masalah besar pada tahun 2024 dengan ciri, kualiti kenderaan, harga, pengecasan dan banyak lagi,” kata Youtuber Robert Rosenfeld yang juga pemilik beberapa model Tesla sebelumnya.
CADANG PEMBELI TUNGGU…
Salah satunya adalah perubahan harga yang besar memberi impak pada nilai jualan semula.
Susut nilai yang pantas adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli Tesla kerana pembuat kereta itu sering menurunkan harga dengan ketara dari masa ke semasa.
Beberapa isu lain yang dinyatakan adalah Tesla masih menjual pemanduan autonomi penuh tetapi beberapa ciri peralatan yang disediakan tidak lagi berfungsi pada Tesla yang lebih baharu (Summon, Smart Summon dan Autopark).
Selain itu, pemanduan autonomi penuh juga mungkin tidak akan sampai ke tahap yang dijanjikan Tesla selama bertahun-tahun.
Tambah Robert, perubahan pengecasan standard Amerika Utara (NACS) oleh pengeluar lain bakal menjadikan stesen Supercharger semakin sesak dan tempoh menunggu yang lama.
Impak tersebut masih belum dapat dirasai buat masa ini tetapi sekiranya pengguna mempertimbangkan Tesla, kelebihan eksklusif rangkaian Supercharger tidak lagi wujud.
Beberapa isu lain yang disebut termasuk kekurangan Tesla Vision yang tidak sebaik model Tesla yang menggunakan sensor ultrasonik.
Dia juga berpendapat Model Y semakin ketinggalan zaman, kerana itulah mencadangkan pengguna menunggu versi Juniper facelift. Bagaimanapun, tiada garis masa lagi untuk keluaran Juniper di Amerika.
Berikut ringkasan Robert untuk tidak membeli Model Y buat masa ini:
- Ketidakpastian rangkaian Supercharger selepas ia dibuka kepada hampir semua pembuat kereta lain
- Pemanduan autonomi penuh Tesla tidak berfungsi seperti yang dijanjikan
- Tesla Vision tidak begitu baik, pembuat kereta harus kembali kepada sensor ultrasonik
- Model Y Juniper akan datang untuk menggantikan Model Y yang dikatakan sudah lapuk
- Beberapa ciri pemanduan autonomi penuh tidak berfungsi selepas Tesla bertukar daripada ultrasonik kepada Tesla Vision