Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggerakkan pasukan khas bagi memudahkan penempatan pekerjaan serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi kakitangan Goodyear yang terkesan.
Menurut MIDA dalam satu kenyataan, pihaknya telah terlibat secara aktif dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Fasilitasi Invest Malaysia yang baharu ditubuhkan bagi memudahkan bantuan penempatan kerja untuk pekerja dari pelbagai sektor.
“Mekanisme sokongan sama boleh diperluaskan kepada mereka yang terjejas disebabkan penutupan kilang Goodyear di Shah Alam, menunjukkan pendekatan komited terhadap pengukuhan daya tahan dan peralihan tenaga kerja,” katanya.
MIDA berkata, sebelum pengumuman penutupan itu, pihaknya bersama MITI dan Goodyear mengadakan dialog strategik secara berterusan yang memperlihatkan ketersediaan bersama memastikan penutupan itu sejajar dengan objektif yang lebih luas.
“Goodyear bersama para pemegang saham telah berkoordinasi rapat dengan kerajaan sebelum keputusan itu dihebahkan, serta bekerja dengan gigih untuk menubuhkan rangka kerja sokongan untuk pekerja.
“Kerjasama awal ini menunjukkan komitmen kolektif kami terhadap kesejahteraan tenaga kerja dan menggariskan bahawa usaha untuk membantu pekerja yang terjejas dijalankan dengan pandangan jauh dan bertanggungjawab,” ujarnya.
GOODYEAR PECAT 1,200 KAKITANGAN 2023
Goodyear sebelum ini mengumumkan penutupan fasiliti pembuatannya di Shah Alam berkuatkuasa 30 Jun depan, yang akan menjejaskan seramai 550 pekerja.
Ia sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak USD 1 bilion (RM4.69 bilion) menjelang 2025 bagi memastikan kumpulan tersebut kekal berdaya saing.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata penstrukturan semula operasi global Goodyear sejak tahun lalu telah memaksanya untuk menutup beberapa kilang.
Amirudin berkata syarikat itu menutup sebuah kilang di Ohio, Amerika dan memecat 1,200 pekerja di seluruh Eropah Timur, Afrika dan Asia pada 2023.
Beliau berkata pemotongan itu adalah sebahagian daripada proses penstrukturan semula perniagaan Goodyear, dengan syarikat itu mendakwa ia tidak dapat bersaing dengan pengeluar tayar lain seperti Bridgestone dan Michelin.