Tahukah anda pada era 1950-an hingga 1970-an, ada perkhidmatan bas yang membawa penumpang dari London ke India.
Dalam tempoh berkenaan, kira-kira 32 pengendali menjalankan perkhidmatan tersebut termasuklah Albert Travel yang menawarkan 15 perjalanan pergi dan balik dari London ke India.
TRIP PERTAMA LONDON KE CALCUTTA
Bagaimanapun, ‘The Indiaman’ yang pertama menawarkan perjalanan dari London ke Calcutta, India.
Perjalanan yang menggunakan bas jenis AEC Regal III 1948 itu mendapat liputan akhbar The New Tork Times. Ia dilengkapi dengan ruang tidur, kipas malah muzik untuk hiburan penumpang.
Dikendalikan oleh Garrow-Fisher Tours di London, percutian itu bermula dari Victoria Coach Station pada 15 April 1957 ke Calcutta dan pulang semula ke London pada 2 Ogos.
Penumpang perlu membayar £85 dari London ke Calcutta dan £65 bagi tiket pulang yang melibatkan perjalanan sejauh 32,000km.
Perjalanan darat pada era tersebut mungkin menyeronokkan namun pemandu bas Oswald-Joseph Garrow-Fisher memandu pulang ke London bersama tujuh penumpang berbanding 20 orang yang menyertai percutian tersebut.
Walaupun kos pulang lebih murah, mungkin ada yang tidak sanggup mengulangi perjalanan tersebut. Dalam beberapa kes mereka terpaksa berkhemah sekiranya tiada penginapan hotel disediakan.
Bas itu bergerak melalui Perancis, Itali, Yugoslavia, Bulgaria, Turki, Iran dan Pakistan lalu tiba di Calcutta selepas kira-kira enam minggu pada 5 Jun.
Selain itu, pelbagai peristiwa perlu dilalui penumpang antaranya melepasi tebing tinggi berhampiran Gunung Ararat di sempadan Turki-Soviet Union, lereng lembut di India, dan menggunakan papan bagi menghindari bas tenggelam di padang pasir Iran.
Ketika pulang, pemandu bas terpaksa membuat lencongan besar sejauh 1,931km kerana sempadan Pakistan-Iran ditutup akibat wabak influenza Asia.
Malangnya pada tahun 1970-an, konflik politik dan ketenteraan menjadikan laluan itu terlalu bahaya untuk dilalui dan tiada lagi tawaran perjalanan bas sedemikian.
MENGEMBALIKAN SEMULA LALUAN DARAT INDIA KE LONDON
Adakah anda ingin mencuba pengalaman tersebut?. Pada 2020, Pada 2020, syarikat pelancongan India Adventures Overland mengumumkan perkhidmatan bas dari Delhi ke London pada Mei 2021.
Perjalanan itu merentasi 18 negara melepasi Myanmar, Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan, Rusia, Latvia, Lithuania, Poland , Republik Czech, Jerman, Belanda, Belgium dan Perancis
Jika ia direalisasikan bakal menjadi rekod bas terpanjang dunia sejauh 20,000km selama 70 hari.
Pada Mac 2021, syarikat itu menangguhkan pelancaran perkhidmatan itu kepada April 2022. Bahkan ditunda sekali lagi kepada April 2023 atas alasan penutupan sempadan di beberapa negera.