Seorang wanita menerima Proton X50 sebagai tanda penghargaan daripada majikan setelah berkhidmat selama 10 tahun.
Syarikat barang kemas, Tiansi di Johor Bahru itu berkongsi momen tersebut di akaun LinkedIn.
“Di Tiansi, kami percaya kecemerlangan bukan sahaja perlu diiktiraf malah diraikan. Hari ini, kami sangat teruja umumkan salah seorang ahli pasukan menjadi pemilik X50 baharu, sebagai pengiktirafan atas usaha gigih dan sumbangan penting mereka kepada syarikat.
“Di Tiansi, kami komited untuk mewujudkan persekitaran di mana semua orang berasa dihargai, terinspirasi dan diiktiraf.
“Dengan meraikan detik seperti ini, kami bukan sahaja menunjukkan rasa hormat kami terhadap pencapaian individu tetapi juga mempamerkan budaya dan nilai korporat kami kepada dunia,” tulis syarikat tersebut.
Menerusi akaun XiaoHongShu wanita tersebut, dia berbesar hati dapat bekerja di sebuah syarikat yang melayan pekerja dengan baik.
“Saya amat bersyukur kerana saya bekerja di sebuah syarikat yang baik. Bos akan tunaikan apa yang mereka janjikan kepada pekerja.
“Bekerja di sini selama 10 tahun juga membuka pelbagai peluang kepada saya termasuk syarikat menghantar pekerja untuk kursus bernilai lima angka serta pelbagai percutian (syarikat membayar penuh dan memberi kami wang saku),” kongsi wanita itu.
Proton X50 didatangkan dengan empat pilihan varian pada harga mula RM86,300. SUV itu didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 226Nm bersama transmisi dual klac 7-kelajuan.