Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua operasi penerbangan pesawat Blackshape model BS115, BK160, BK 60-200 dan BK160TR dalam ruang udara Malaysia, berkuatkuasa esok.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan itu selaras dengan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) (AD No.: 2024-0074-E) yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) iaitu pihak berkuasa bagi pembuatan pesawat berkenaan kelmarin (18 Mac) untuk menggantung operasi penerbangan semua pesawat Blackshape, termasuk semua nombor siri berkuatkuasa 20 Mac.
Beliau berkata, penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut pesawat Blackshape baru-baru ini, yang meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.
“CAAM komited dalam mengutamakan keselamatan penerbangan di Malaysia dan akan mengambil semua tindakan yang sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat,” katanya.
Pada 13 Februari lepas, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.
Dalam kejadian pada jam 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta kedua-dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu terkorban.
Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan setebal 58 muka surat yang dikeluarkan 13 Mac lepas antaranya menunjukkan berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melepasi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.
Laporan itu turut menyebut pesawat itu juga tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama Garmin G3X GDU 460 di kabin depan dan di kabin belakang pesawat.