Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Berhad (CIMB) untuk pembiayaan inisiatif mobiliti hijau, import dan pengedaran kenderaan elektrik premium (EV) smart #1 di Malaysia.
PRO-NET adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.
smart #1 adalah model pertama yang dijual oleh PRO-NET dan dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz.
Dengan ekosistem yang komprehensif merangkumi 13 lokasi pengedar cawangan smart, perkhidmatan selepas jualan, serta aplikasi digital mesra pengguna yang dikenali sebagai ‘Hello smart’ untuk menyediakan akses kepada lebih 70 peratus rangkaian pengecasan awam.
PRO-NET menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik holistik bersama-sama dengan jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap.
Syarikat itu juga bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen pengeluar kereta nasional PROTON terhadap agenda kenderaan elektriknya dan bersedia memainkan peranan penting apabila ia memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah berkata pengiktirafan dari CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktif dalam menyokong inisiatif pengembangan menunjukkan jenis perkongsian yang amat kami hargai di PRO-NET.
Menurutnya, peluang yang diberikan kepada PRO-NET dan PROTON untuk mengembangkan penawaran dan menyediakan pelbagai pilihan model EV bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang sentiasa berubah.
“Ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan, tetapi juga mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memudahkan peralihan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik.
“Pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV dan mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar.
“Langkah ini akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif neutral karbon Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan, CIMB Group, Novan Amirudin, urus niaga itu menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami.’’
Sebelum ini, CIMB melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif untuk merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN.
Penyelesaian itu merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain yang memudahkan pengguna dalam setiap aspek memiliki EV.
Sebagai perantara kewangan yang berusaha mencapai tujuan berkelanjutan, CIMB Group terus memperkukuhkan inovasi dalam kemampanan untuk mencapai sasaran kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 di bawah Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Hijau, Sosial, Impak Mampan (GSSIPS) Kumpulan.