Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad memiliki empat kad pengenalan individu lain bersamanya semasa ditahan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, salah satu daripada kad pengenalan tersebut digunakan untuk mendaftar penginapan di sebuah hotel di Kota Bharu.
“Disebabkan itu pihak hotel tidak dapat mengesan suspek adalah orang yang polis kehendaki,” katanya.
Menurut beliau, suspek yang berusia 38 tahun itu dibawa pulang ke Selangor untuk menyelesaikan segala siasatan berkait kes Sekysen 307 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Ujarnya, pihak polis juga akan memanggil semula beberapa saksi untuk memperkemaskan lagi siasatan dan seterusnya ke pendakwaan.
Mohd Shuhaily memberitahu, pihaknya percaya suspek berusaha untuk meloloskan diri ke luar negara.
“Bagaimanapun kita masih lagi siasat kaedah yang digunakan suspek.
“Melalui duit, pasport serta rekod perjalanan menunjukkan suspek kerap ke luar negara,” katanya.
Suspek telah direman tujuh hari sehingga 22 April. Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.