Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan sebuah lagi lebuhraya baharu sudah didaftarkan di Kementerian Kewangan untuk dibangunkan di negeri ini.
Beliau berkata, lebuhraya dari Tanjung Malim ke Lumut itu adalah antara 10 projek disenaraikan untuk dilaksanakan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Perak baru-baru ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan dijangka bermula serentak dengan pembangunan AHTV di Tanjung Malim dan ia akan mengambil masa.
Katanya, setakat ini belum ada perincian melibatkan jajaran dan jarak lebuhraya berkenaan.
“Cadangan lebuhraya itu dibuat sebagai perancangan jangka panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Pertama, kita senaraikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian manakalala kedua ialah projek lebuhraya Tanjung Malim – Lumut.
“Jadi produk-produk yang dihasilkan di AHTV akan dihantar ke LUMiC untuk eksport dan kita sedang perkasakan pelabuhan Lumut itu,” katanya.